11 May 2012

Puisi: TV3

TV3

i

sedasawarsa dulu
hari-hari terakhir
berseluar sekolah biru
menjejak tangga remaja
belajar menengok warta berita
yang beritanya terkini
yang hiburannya sensasi
ketika makan bersama keluarga
mendengar suara kamaruddin mape
melapor berita rogol dan raba
aku jadi malu – cepua
lalu berpura-pura tuli
menyambung sesuap nasi.

ii

di usia seorang lelaki
hari-hari terakhir
bersiap keluar mengundi
menjejak tangga dewasa
belajar mentafsir Buletin Utama
yang menjadi inspirasi
yang menjadi pilihan hati
ketika makan bersama keluarga
mendengar suara entah siapa
melapor berita pornografi
selepas itu
kau tahulah sendiri!


Ampang
Mei 2012

Boleh Klik www.tips-fb.com

10 May 2012

Sekat Irshad Manji


Siapa Irhsad Manji?

Dia bakal menjejakkan kaki ke Malaysia pada 12 Mei 2012.

Wanita ini telah disekat kehadirannya di beberapa buah negara. (baca sini)

Kerajaan Malaysia perlu menyekat kemaraan wanita liberal ini kerana aktiviti LGBT sebelum ini pun gagal disekat. Kedatangan wanita tersebut bakal menyemarakkan semangat puak-puak LGBT di Malaysia.

Andai kata kerajaan gagal menyekatnya, pasti akan berlaku sesuatu yang lebih buruk. Terutamanya kepada pembangkang (walaupun kuasa sebenarnya tertakluk kepada kerajaan).

Atau Irhsad Manji sebenarnya umpan untuk dicampakkan ke dalam kolam BERSIH 3.0 yang kian keruh?



Boleh Klik www.tips-fb.com

08 May 2012

Catdog



Saya tidak berniat untuk mempengaruhi minda kalian menonton rancangan kartun. Tetapi saya suka untuk mempromosikan "Catdog" sebagai hiburan yang mendamaikan. Damai dalam erti kata tolak ansur dan toleransi.

Sesiapa yang pernah menonton rancangan ini akan faham betapa Cat dan Dog perlu menjalani hidup sebagai makhluk yang satu walaupun hakikatnya keinginan mereka berbeza. Walhasil, satu keputusan tetap perlu dinoktahkan dan salah satu daripadanya yang 'tewas' dalam berkeinginan terpaksa mengikut kemahuan yang satu lagi.

Ini toleransi. Ini kemaafan. Ini pemberian dan penerimaan. Kita tidak perlu menjadi kembar siam untuk bersikap toleransi. Kita hanya perlu mengembarkan hati-hati kita untuk satu keputusan hati.

Sehingga sekarang, saya masih hairan. Mengapa "Catdog" kebanyakannya ditonton oleh kanak-kanak sedangkan tahap keupayaan mereka untuk memahami falsafah yang terkandung amat rendah. Mengapa tidak golongan dewasa yang meraikan kartun ini? Barangkali sifir alam menuntut situasi sebegini. Yalah, kartun itu hiburan.

Kartun ini boleh ditonton pada petang hari di tv9. Biasanya akan disertai kartun Spongebob Squarepants (ini juga sebuah kartun yang menghiburkan serta bernilai tinggi).

Boleh Klik www.tips-fb.com

07 May 2012

Catatan


Dulu (lama dahulu), saya tidak berahi untuk mencatat apa-apa dalam blog melainakan datang hari ini. Akan saya ceritakan bagaimana saya diarah oleh hati untuk menjadi sepi dalam blog sendiri.

"Menulis blog membuang masa", kata saya beberapa tahun sudah. Tapi sebenarnya saya berhenti menulis secara kerap di sini disebabkan satu perkara -- dosa!
Ada saudara saya menegur tentang tulisan saya yang entah apa-apa. Katanya, kalau mahu menulis dosa, tidak perlu tulis di blog. Malaikat boleh tolong tuliskan. Saya terkesan dengan ayat itu, lalu menyemak semula tulisan-tulisan saya di sini. Ada benarnya!

Hari ini saya menjadi berani untuk melupakan semula teguran saudara itu atas satu alasan -- catatan! Ya, saya akan cuba mencatat apa-apa termasuk yang entah apa-apa selagi tidak ditegur saudara saya lagi.


Boleh Klik www.tips-fb.com

Sajak: Dalam Gemalku

Boleh Klik www.tips-fb.com

01 March 2012

Karya Terpaut: 2012

Entri ini bersifat dokumentasi peribadi. Selepas merasakan diri seorang yang pemalas dan tidak bersistematik dalam bidang penulisan, cara ini ialah penawar terbaik sebelum apa-apa yang buruk berlaku di kemudian hari. Bak kata guru saya; "kita menulis perlu ada target!". Pendokumentasian ini amat penting agar strategi demi strategi dapat dirangka dengan terancang dan bermakna. Mudah-mudahan, saya terdidik dan terbijaksana.

Melukis Palestin Semula. (Sajak)
- Berita Minggu , 26 Februari 2012-
Dalam Gemalku. (Sajak)
- Dewan Siswa, Januari 2012-
Pelukis Kota Kini. (Sajak)
- Tunas Cipta, April 2012-
Pohon Damai. (Sajak)
- Utusan Melayu Mingguan, 7 Mei 2012-
Balada Buat Ibu. (Sajak)
- Tunas Cipta, Mei 2012-


*Jika berkemahuan untuk mengintai isi karya-karya tersebut, boleh sahaja klik - sebagai suatu perkongsian. Moga kita beroleh pahala kerana menulis dan membaca adalah sebahagian daripada pendidikan. Entri seperti ini juga akan dikemas kini saban-saban selagi ada karya yang terpaut.
Boleh Klik www.tips-fb.com

Sajak: Melukis Palestin Semula

Pada lembaran peta dunia
tersorok sebuah negara rahsia
lama kita sembunyikan
dari mata akal kanak-kanak –
jua mata hati sendiri.

Palestin dijajah oleh kesombongan manusia
sengaja membutakan kezaliman
walau menyembah keamanan
tiba masanya kita lukis semula
biar bukan di peta;
hanya di minda
wilayah Palestin yang terkambus
kita lakar segadang mungkin
dengan berus ingatan.

Palestin tentang mereka
Palestin tentang kita
pelukis keadilan sedunia.


Khalil Zaini
Pantai Dalam


Berita Minggu
26 Februari 2012


Boleh Klik www.tips-fb.com